Seorang lelaki kanibal di Rusia ditahan selepas dia membunuh ibu kepada dua anak dan turut memasak serta memakan jantungnya.

Penahanan Alexey Yastrebov, 35, dibuat di bandar Krasnoyarsk selepas dia didakwa menikam leher Ekaterina Nikiforova, 27, dengan menggunakan pisau dapur.

Menurut penguatkuasa undang-undang tempatan, dia kemudiannya mengeluarkan jantung dan paru-paru kiri mangsa sebelum memasaknya di atas dapur di flat sewa yang didiaminya.

"Suspek menelefon pemilik flat itu, Zhanna Avdeeva, 31, memberitahu tentang 'dia berbaring dalam keadaan berlumuran darah dan terdapat mayat di sisinya'. Dia turut meminta Avdeeva menghubungi polis dan ambulans," jelas jurucakapnya.

Apabila paramedik tiba, Yastrebov dengan tenang menyatakan: "Ada jantung dimasak atas dapur."

Dia turut mengaku kepada polis: "Saya beritahu akan makan jantungnya. Jadi, saya buat."

Sebelum menghubungi Adveeva, dia dipercayai cuba membunuh dirinya dengan menikam gunting pada lehernya, namun gagal.

"Suspek kini ditempatkan di wad penjagaan intensif di hospital dan turut dikawal polis," ujarnya lagi.

Adveeva yang turut terkejut dengan pembunuhan mengerikan itu berkata, insiden tersebut adalah seperti satu mimpi ngeri kerana ia berlaku di dalam rumah miliknya. - Daily Mail