Seorang wanita ditahan polis kerana menjadi suspek utama pembunuhan anak perempuannya sendiri yang berusia 12 tahun, dengan mayat anaknya yang dikerat-kerat ditemui di flat Mong Kok pada Ahad malam.

Pasukan polis tiba di kediaman flat di Canton Road itu selepas jam 9 malam selepas seorang jiran mengadu bahawa suspek yang berusia 37 tahun itu tidak menjawab panggilan telefon, lapor South China Morning Post.

Suspek itu ditemui berdiri di luar unit kediamannya ketika polis sampai ke tempat kejadian.

Memandangkan dia enggan memberi kerjasama, pihak polis terpaksa memecah masuk kediaman berkeluasan 60 kaki persegi itu.

Sejurus memasukinya, polis menjumpai cebisan-cebisan mayat yang telah dikerat-kerat di bilik air, dipercayai anak wanita berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mong Kok, Chung Chi-ming berkata: “Kepala, organ dan tubuh mangsa telah dipotong-potong. Air dan darah membanjiri ruang tersebut hingga mengalir ke unit kediaman jiran lain.”

Pihak polis berkata, wanita itu tiada rekod masalah mental atau keganasan domestik sebelum ini.

Dia juga merupakan penduduk yang lama tinggal di bandar raya itu, dan polis sedang cuba mengesan bapa kepada mangsa tersebut.

Apabila ditanya sama ada wanita itu kelihatan dalam keadaan terpinga-pinga atau melawan ketika ditahan, Chung cuma berkata, suspek tidak memberi kerjasama kepada anggota polis ketika itu.

“Kami terpaksa menunggu sehingga dia boleh memberi respons sebelum memulakan siasatan,” katanya.

Seorang jiran yang tinggal berdekatan lokasi kejadian, pada Isnin berkata, dia mendengar bunyi seperti ‘sesuatu sedang dipotong-potong’ selama setengah jam sekitar jam 3 pagi pada Ahad. Dia juga terhidu bahan antiseptik yang kuat.

Dia yang hanya mahu dikenali dengan nama Tsui, memberitahu, pernah beberapa kali menyapa suspek tetapi tidak pernah melihat anak perempuannya itu.

Chung berkata, pihak polis sedang mencari peralatan yang digunakan suspek dalam kes tersebut. Pasukan patologi forensik juga sudah mula menjalankan tugas mereka di lokasi kejadian pada Isnin pagi.