Seorang ibu hilang pertimbangan apabila menghumban lima anak kecilnya ke dalam sebuah perigi sebelum bertindak melompat masuk ke dalam perigi tersebut untuk membunuh diri.

Kejadian sadis itu berlaku di perkampungan Panchpipla di barat India pada Isnin.

Bagaimanapun, wanita terbabit, Geeta Bhaliya, 40, berjaya ditarik keluar dalam keadaan hidup tetapi lemah.

Anak perempuannya yang berusia 10 tahun turut berjaya diselamatkan.

Namun, empat lagi anaknya berusia antara satu, empat, tujuh dan lapan tahun mati lemas di dalam perigi sedalam 90 kaki itu.

Siasatan awal polis mendapati Geeta mengalami tekanan perasaan selepas mengalami mimpi buruk hampir setiap malam.

"Dia kerap mengadu perkara itu kepada suaminya. Dia juga percaya seseorang telah menyihirnya menggunakan ilmu hitam," kata sumber polis.

Sebelum kejadian, Geeta meminta kebenaran suaminya untuk ke kuil di Jhanjmer dan membawa kesemua lima anaknya.

Bagaimanapun, wanita terbabit mengubah haluannya dan menuju ke Panchpipla.

"Penduduk kampung yang menyedari perbuatan wanita itu bertindak melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.

"Wanita itu kini ditahan dan berdepan tuduhan membunuh dan cubaan membunuh," kata polis. - Agensi