Ibu mertua bos Formula 1, Bernie Ecclestone, telah diculik di Brazil dan penjenayah memeras wang tebusan sejumlah AS$36.5 juta (RM148.5 juta), menurut satu laporan.

Aparecida Schunck yang berusia 67 tahun dan ibu kepada isteri Ecclestone, Fabiana Flosi, telah diculik di Sao Paulo pada malam Jumaat waktu tempatan, lapor media tempatan.

Ecclestone dan pihak polis di bandar berkenaan bagaimanapun masih belum memberikan ulasan.

Ecclestone, 85, ialah orang yang paling berkuasa dalam bidang sukan dan dianggarkan mempunyai kekayaan berjumlah AS$3.1 bilion (RM12.6 bilion).

Beliau mengahwini Flosi pada tahun 2012, tiga tahun selepas bertemu wanita itu buat pertama kali dalam kejohanan Grand Prix Brazil. Ecclestone telah menceraikan isterinya yang telah dikahwini selama 25 tahun iaitu model berasal dari Croatia, Slavica Radic, untuk bersama Flosi dan menetap di United Kingdom.

Kumpulan penculik itu telah meminta wang tebusan dalam matawang pound Sterling dan mengarahkan ia dibahagikan kepada empat bungkusan. Jumlah itu mencapai rekod tertinggi dalam kes-kes seumpamanya di Brazil.

Penculikan adalah kejadian ‘biasa’ di Brazil sedekad yang lalu, dengan Sao Paolo merekodkan kes jenayah itu setiap 27 jam sejak tahun 2002. Namun, statistiknya menurun sejak Brazil membentuk pasukan anti-penculikan.

Brazil yang kini berdepan krisis ekonomi, sedang bersiap menjadi tuan rumah temasya Olimpik kurang daripada dua minggu.