SEORANG ibu dari lowa, Amerika Syarikat ditahan polis selepas didakwa meninggalkan empat anaknya bersendirian di rumah untuk bercuti di Eropah.

Menurut laporan portal New York Times, polis bergegas ke rumah Erin Lee Macke, 30, di Johnston selepas mereka menerima laporan bahawa kanak-kanak terbabit ditinggalkan tanpa pengawasan.

Semasa menjalankan pemeriksaan kebajikan, polis menemui empat anak Macke - dua berumur 12 tahun, seorang anak berusia 7 tahun dan seorang lagi berusia 6 tahun tinggal bersendirian.

Polis mendapati Macke telah meninggalkan Amerika Syarikat sehari sebelum hari penyiasatan dan dijangka balik pada 1 Oktober ini.

Lebih mengejutkan, wanita itu tidak mengatur sebarang pengawasan untuk anak-anaknya, kata pihak berkuasa.

Macke kemudian dihubungi oleh polis ketika dia berada di Jerman dan diarahkan untuk kembali.

Jabatan Kebajikan lowa turut menggantung hak penjagaan anak-anak dan menyerahkan ia kepada saudara-mara mereka.