Seorang imam sebuah masjid di New York dan seorang lagi rakannya telah ditembak pada waktu siang di kawasan awam sejurus mereka pulang daripada menunaikan sembahyang pada Sabtu.

Polis berkata, Imam Maulana Akonjee, 55, dan Thara Uddin, 64, ditembak di bahagian kepala selepas mereka meninggalkan Masjid Jamek Al-Furqan berdekatan Ozone Park, Queens sebelum jam 2 petang.
Kedua-duanya maut serta-merta di tempat kejadian.

Pihak polis memberitahu, setakat ini belum ada motif dikenal pasti di sebalik kejadian itu, dan ‘belum ada sebab untuk mempercayai bahawa mangsa ditembak kerana mereka beragama Islam’.

Sehingga lewat Sabtu, tiada pihak yang ditahan berhubung kejadian berkenaan.

"Tiada penemuan pada awal siasatan untuk menunjukkan bahawa mereka menjadi sasaran penyerang kerana kepercayaan agama mereka,” kata Timbalan Inspektor Henry Sautner dari Jabatan Polis New York.

Sautner berkata, rakaman video daripada kamera litar tertutup menunjukkan kedua-dua mangsa didatangi dari arah belakang oleh penyerang yang memakai baju polo berwarna gelap dan berseluar pendek.

Suspek kemudiannya melarikan diri dari lokasi itu bersama pistol di tangannya.

Anak perempuan Muhammad Akonjee, Naima Akonjee, memberitahu bapanya dan Thara adalah rakan akrab yang selalu berjalan pulang bersama di laluan tersebut selepas menunaikan sembahyang.

Komuniti Islam Bangladesh yang selalu beribadah di masjid berkenaan mendesak agar kes tersebut diklasifikasi sebagai jenayah kebencian agama. Lebih daripada 100 orang berarak pada malam Sabtu sambil melaungkan, “Kami mahukan keadilan!”.

Komuniti Islam di New York berhimpun dan berarak bagi membantah kejadian yang menimpa dua mangsa tembak itu. - Foto AP