Impak penularan COVID-19 kepada ekonomi dunia adalah lebih buruk daripada krisis kewangan global.

Dalam sidang media bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat malam, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan ekonomi dunia kini berada dalam kemelesetan.

“Kita tahu banyak negara menghadapi sistem kesihatan yang lemah.

"Dalam usaha untuk memastikan keselamatan, banyak aliran modal keluar dari ekonomi membangun.

“Hampir AS$90 bilion mengalir keluar. Ini bererti ia lebih daripada krisis kewangan global,” kata Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva.

IMF dan WHO dalam apda itu menyatakan komitmen mereka untuk membantu negara yang berdepan cabaran kewangan dalam menghentikan penularan COVID-19.

IMF umum ia mempunyai dana AS$1 trilion (kira-kira RM4.4 trilion) untuk membantu ekonomi yang terkesan akibat krisis ini.

WHO menyatakan penularan COVID-19 ketika ini wujudkan satu usaha bersama untuk lindungi nyawa dan pendapatan.

“Kita tahu ini merupakan isu yang lagi besar dari krisis kesihatan. Kita semua menyedari kesan sosial dan ekonomi pandemik ini,” kata Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah WHO.

“Banyak negara yang melakukan sekatan untuk memastikan kesihatan orang terjamin telah menyebabkan pendapatan individu dan keluarga terjejas.

"Kita bersama-sama menghadapi saat sukar ini demi memastikan perlindungan kehidupan.”

Dalam sidang media yang sama, WHO turut memuji usaha negara yang memberikan ujian percuma dan mereka yang menghapuskan sebarang kekangan kewangan kepada perkhidmatan kesihatan.

Sehingga awal pagi ini, jumlah kes positif COVID-19 di serata dunia meningkat kepada 1.08 juta dengan lebih 58,000 kematian dicatatkan.

Penularan COVID-19 ini menjadikan kerajaan pelbagai negara mengehadkan aktiviti ekonomi dalam usaha mengekang ia daripada terus merebak.