Tutup

Berita  | Dunia

India pulih perkhidmatan telefon bimbit pasca bayar di Kashmir

India pulih perkhidmatan telefon bimbit pasca bayar di Kashmir
Anggota tentera India menggunakan telefon bimbit di sebuah pasar yang telah ditutup di Srinagar, Kashmir, 14 Okt, 2019. (Foto AP)
NEW DELHI: India pada Isnin memulihkan perkhidmatan telefon bimbit pasca bayar bagi semua rangkaian di Lembah Kashmir, 72 hari selepas memansuhkan status istimewa negeri itu, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Menurut angka kerajaan, Jammu dan Kashmir yang dikuasai India memiliki kira-kira empat juta pelanggan mudah alih pasca bayar.

Bagaimanapun tiga juta sambungan telefon prabayar belum dipulihkan manakala Internet masih tidak tersedia di rangkaian telefon bimbit dan talian tetap.

Penduduk di lembah itu mempunyai reaksi berbeza selepas perkhidmatan itu dipulihkan. 
"Terdapat lebih banyak sekatan lain yang perlu ditarik balik, namun masih bagus untuk menyaksikan bahawa kami boleh menghubungi orang yang dikasihi dan rapat dengan kami," kata Safdar Bhatt kepada Anadolu.

"Kami telah benar-benar terputus hubungan dengan dunia luar. Saudara-mara kami di tempat lain akan mengetahui tentang kehidupan yang kami jalani ketika ini."
Seorang lagi penduduk Srinagar, yang mahu identitinya dirahsiakan, berkata perkara pertama yang beliau lakukan ialah menghubungi anak lelakinya yang sedang belajar di Uttar Pradesh.

"Kami telah banyak menderita dalam tempoh dua bulan lepas dan masih bergelut menjalani kehidupan. Saya hanya ingin menghantar mesej bahawa kerajaan telah menjadikan kehidupan kami seperti di neraka."

Banyak sekatan telah dikenakan di lembah itu selepas kerajaan memansuhkan status istimewa Jammu dan Kashmir pada 5 Ogos.

Seorang lagi penduduk Srinagar, Haroon Ahmed, mahu kerajaan memulihkan perkhidmatan internet di kawasan itu.

"Perniagaan kami telah terhenti tanpa internet. Anda boleh bayangkan keadaan kami. Kami telah menderita bukan disebabkan salah kami," katanya.

-- BERNAMA