INDIA mengerahkan ribuan anggota polis dan menghentikan akses kepada kemudahan internet di beberapa bandar pada Jumaat bagi mengawal protes menentang undang-undang kewarganegaraan baharu.

Bandar Delhi, Kolkata, Bengaluru dan Mumbai menyaksikan demonstrasi dijalankan ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat, namun tiada keganasan dilaporkan berlaku.

Pihak berkuasa meningkatkan tahap keselamatan dengan tumpuan diberikan di negeri Uttar Pradesh yang menyaksikan 19 nyawa terkorban dan lebih 5,000 ditahan sejak protes bermula 12 Disember lalu.

Di Meerut pula, lima orang maut akibat keganasan pada Jumaat walaupun tiada perhimpunan dijalankan.

Menurut ketua polis Meerut, hampir 3,000 anggota polis dikerahkan di bandar itu pada minggu ini, empat kali ganda jumlah yang dikerahkan minggu lalu, lapor Reuters.

Pertubuhan bukan kerajaan Human Rights Watch dalam pada itu mendakwa pihak polis menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

Protes tercetus apabila Parlimen meluluskan undang-undang baharu yang memberi kewarganegaraan kepada minoriti agama Hindu, Buddha, Kristian, Sikh, Jain dan Parsi dari majoriti Muslim Afghanistan, Pakistan dan Bangladesh.

Namun, bagi penunjuk perasaan, undang-undang itu dilihat bakal meruntuhkan konsep sekularisme yang menjadi asas kepada pembentukan India.

Kata aktivis dan pakar sains politik, Yogendra Yadav, aktivis dijadikan sasaran bagi “menghantar mesej amaran kepada semua”.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Narendra Modi mempertahankan undang-undang itu dan menegaskan bahawa kerajaannya tidak pernah mendiskriminasi berdasarkan agama.