Indonesia akan mengkaji semula kerjasamanya dengan Australia berikutan dakwaan intipan talian telefon terhadap presiden republik itu, Susilo Bambang Yudhoyono.

Baru-baru ini terdapat dakwaan bahawa agensi perisik dari Australia cuba untuk mencuri dengar setiap perbualan telefon bimbit Susilo selain menyasarkan telefon bimbit isteri serta menteri-menteri kanannya.

"Jakarta akan mengkaji kerjasama dua hala kerana tindakan tidak wajar Australia,” kata Susilo melalui laman Twitternya pada Selasa.

Komen tersebut dibuat sehari selepas Indonesia memanggil pulang dutanya di Australia atas dakwaan yang sama.

Susilo turut mengecam Perdana Menteri Australia, Tony Abbott kerana menganggap pencerobohan tersebut sebagai sesuatu yang remeh, tanpa rasa bersalah.

"Apa yang dilakukan oleh Australia dan Amerika Syarikat ini telah merosakkan hubungan strategik dengan sebuah negara demokrasi seperti Indonesia," tambah beliau.

Australia dan Indonesia merupakan rakan sekutu yang mempunyai hubungan rapat dengan melakukan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk keselamatan.

Amerika Syarikat juga dilaporkan menjalankan pengawasan elektronik pada kedutaannya di Jakarta sebagai sebahagian daripada rangkaian perisikan global negara itu.