Indonesia berharap agar dapat "bergabung suara" dengan Malaysia bagi membantah kekejaman rejim Israel terhadap umat Islam di Palestin, kata bekas Ketua Umum parti Golkar Akbar Tanjung.

Beliau berkata, ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang disegani negara-negara Islam lain kerana kelantangannya dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

"Mengenai isu Palestin dan Masjid al-Aqsa, kami sangat mengharapkan kerjasama Malaysia untuk teruskan dan tentu kita dapat berikan dorongan kepada negara-negara OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) untuk memberikan dukungan bagi saudara-saudara kita yang beragama Islam di Palestin," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis makan malam di kediaman Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia di sini malam tadi.

Majlis makan malam anjuran Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim itu turut dihadiri Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Mubarak Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman, Ahli Majlis Tertingginya Tan Sri Abu Seman Yusop serta bekas-bekas pemimpin parti politik di Indonesia.

Akbar berkata pemeliharaan Masjid al-Aqsa adalah tanggungjawab semua umat Islam di dunia kerana ia adalah masjid suci ketiga bagi umat Islam selain daripada Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Beliau yang juga bekas menteri kabinet dan speaker Parlimen Indonesia berkata, perhubungan politik antara pemimpin Indonesia dengan Malaysia sebenarnya sentiasa akrab dan kedua-dua buah negara mempunyai banyak persamaan dari aspek budaya dan sosial.

Baru-baru ini Indonesia menggesa OIC mengadakan mesyuarat khas dengan segera bagi membincangkan isu pihak berkuasa Israel mengenakan sekatan terhadap umat Islam untuk beribadah dalam Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi seperti dipetik media dalam talian sebagai berkata pihaknya telah menghubungi Setiausaha Agung OIC Dr Yousef Al-Othaimeen bagi menyatakan keprihatinan Indonesia mengenai perkembangan yang sedang berlaku di Palestin dan meminta agar pertubuhan itu menganjurkan satu mesyuarat khas dengan segera.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga turut mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel itu yang disifatkan sebagai satu perbuatan untuk menafikan hak umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Menurut laporan berita, polis Israel menutup Masjid al-Aqsa dan tidak membenarkan solat Jumaat pada minggu lepas selepas tiga penduduk Palestin dan dua polis Israel terbunuh dalam pertempuran bersenjata di pekarangan masjid itu.

--BERNAMA