Indonesia mencatatkan kes positif COVID-19 baharu tertinggi dalam tempoh 24 jam iaitu sebanyak 1,043 kes, jumlah tertinggi sejak kes pertama virus itu dikesan pada 2 Mac lepas.

Jumlah keseluruhan kes positif di Indonesia kini menjangkau 33,076 kes, manakala jumlah kematian meningkat kepada 1,923 orang, dengan 40 lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto dalam sidang media hariannya yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, seramai 14,108 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19.

Menurutnya provinsi Jakarta yang mula melonggarkan peraturan pembatasan sosial berskala besar (PSBB) pada 5 Jun lepas, juga kembali mencatatkan peningkatan kes baharu iaitu sebanyak 232 kes, dengan empat lagi kematian, selepas mencatatkan kes baharu di bawah angka 100 dan sifar kematian sejak akhir bulan Mei.

Berdasarkan data yang dikeluarkan pemerintah Indonesia hari ini, provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 533 kes, diikuti Jawa Timur (514 kes), Jawa Barat (161) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Gabenor Jakarta Anies Baswedan sebelum ini menegaskan pelonggaran peraturan menerusi proses transisi PSBB yang antaranya membenarkan kembali operasi sepenuhnya pengangkutan awam, membenarkan orang ramai makan di restoran dan kedai makan serta pembukaan rumah-rumah ibadat, akan dibatalkan sekiranya kes positif virus itu kembali menunjukkan trend meningkat.

-- BERNAMA