Penggubal undang-undang Indonesia pada Rabu meluluskan undang-undang kontroversi yang dicadangkan pemerintah negara itu, yang antara lain meluluskan hukuman yang lebih berat untuk pesalah jenayah seksual ke atas kanak-kanak.

Hukuman di bawah undang-undang baharu itu termasuk dikembiri secara kimia dan maksimum dihukum mati, bergantung kepada darjah kekejaman jenayah mereka.

Bagi yang hanya menjalani hukuman penjara, mereka diarahkan untuk memakai alat penjejak elektronik bagi memantau pergerakan mereka selepas dibebaskan.

Hukuman penjara minimum 10 tahun dan penjara seumur hidup turut dinyatakan, lapor media tempatan.

Undang-undang baharu itu sebelum ini tertangguh selama dua bulan dalam sidang plenari Dewan Perwakilan selepas mendapat bantahan daripada beberapa pihak.

Laporan media tempatan menyatakan, beberapa pihak tidak dapat membuat keputusan ketika itu kerana tidak mendapat maklumat sepenuhnya mengenai hukuman ‘kembiri menggunakan bahan kimia’.

Pihak pemerintah kini perlu memberi penjelasan lanjutan tentang proses mengkasi secara kimia, kerana prosedurnya masih kabur.

Ahli-ahli Persatuan Doktor Indonesia sebelum ini membantah hukuman itu atas alasan etika.

Presiden Indonesia Joko Widodo menandatangani usul undang-undang baharu itu pada Mei lalu, selepas aktivis dan orang ramai menggesa perubahan berikutan kes rogol berkumpulan dan pembunuhan seorang kanak-kanak berusia 14 tahun di Bengkulu, Sumatera pada April.