KERAJAAN Indonesia bakal mengambil langkah untuk mengenakan cukai ke atas syarikat internet gergasi dunia seperti Google, Facebook dan Twitter.

Selama ini mereka tidak membayar sebarang cukai walaupun menjana pendapatan yang tinggi menerusi pengiklanan digital.

Ini kerana transaksi tidak dilakukan melalui perwakilan tempatan.

Lapor Reuters, rakyat Indonesia merupakan antara pengguna enjin carian Google dan media sosial paling aktif di dunia.

Dengan itu, anggaran Kementerian Komunikasi Indonesia tentang pendapatan pengiklanan digital dari Indonesia adalah AS$800 juta (RM3.32 bilion).

“Mereka mempunyai ramai pengguna di Indonesia… Jadi jika seseorang letak iklan di Google, apa yang anda rasa kami dapat,” kata jurucakap Kementerian Komunikasi Ismail Cawidu kepada Reuters.

Kerajaan Indonesia kini mahu syarikat gergasi internet untuk menubuhkan pejabat perwakilan atau pejabat tetap agar mereka boleh dikenakan cukai.

Ismail turut berkata Indonesia akan mengeluarkan peraturan untuk platform media sosial dan perkhidmatan penstriman dan mesej.

Isu cukai dan mengawal kandungan berkaitan keganasan dan pornografi merupakan antara faktor mengapa peraturan dikeluarkan.

Jika syarikat internet berkenaan gagal mematahui peraturan, kerajaan Indonesia berkemungkinan akan mengurangkan bandwidth atau sekat perkhidmatan mereka.