Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), yang diketuai Malaysia dan Indonesia, berkata keputusan rangkaian pasar raya Britain, Iceland, yang tidak lagi menggunakan minyak sawit dalam produk makanan jenamanya, hanya mengelirukan pengguna.

Pasar raya Iceland pada minggu lalu berkata, pihaknya membuat keputusan menolak penggunaan minyak sawit dalam produknya menjelang penghujung 2018 kerana ‘bimbang tentang masalah kemusnahan hutan’, sekali gus mengurangkan permintaan minyak sayuran hingga lebih 500 tan setahun.

Dakwaan yang dibuat terhadap minyak sawit adalah ‘mengelirukan konsumer tentang manfaat persekitaran daripada minyak sayuran," ujar Keta Eksekutif CPOPC Mahendra Siregar menerusi surat yang dihantar kepada Ketua Pengarah Iceland, Richard Walker.

Siregar mengesahkan kandungan surat tersebut, yang bertarikh 13 April, pada Ahad.

Pasar raya Iceland tidak lagi menjual produk yang mengandungi minyak sawit, termasuk dari jenamanya sendiri. - Wikipedia

CPOPC berhujah, permintaan minyak sayuran semakin meningkat. Langkah menggantikan minyak sawit dengan alternatif lain seperti dari sumber kacang soya, biji bunga matahari dan biji rapeseed, akan menyaksikan kawasan tanah seluas 10 hingga 20 kali ganda diperlukan untuk menghasilkan jumlah minyak yang sama.

Iceland, yang mempunyai kemahiran khusus dalam industri makanan sejuk beku dan memiliki 900 pasar raya, sudah tidak lagi menggunakan minyak sawit dari separuh produk-produk jenamanya.

Reuters yang memetik data dari Malaysia dan Indonesia melaporkan, permintaan minyak sawit yang meningkat telah membuatkan ladang-ladang sawit berkembang sehingga 18 juta hektar di kedua-dua negara. Indonesia dan Malaysia adalah pengeluar minyak sawit terbesar dan kedua terbesar di dunia.

Para pengkritik mendakwa, peluasan itu menyebabkan peningkatan pelepasan gas rumah hijau seterusnya mencetus isu pemanasan global.

Aktiviti dan kewujudan ladang-ladang sawit sering dipersalahkan setiap kali berlaku kejadian kebakaran hutan, seperti yang terjadi di Sumatera dan Kalimantan di Indonesia.

Parlimen Eropah tahun lalu membuat keputusan untuk menghentikan penggunaan minyak sawit yang tidak mapan dalam industri biodiesel menjelang tahun 2020. Resolusi itu memperkenalkan rancangan minyak sawit mapan yang diiktiraf (CSPO) bagi pasaran Eropah termasuk minyak sayuran lain.

Tindakan itu diambil kerana Eropah percaya ia dapat memastikan produk itu dihasilkan dalam kaedah yang mapan dan mesra alam sekitar.

Eropah adalah pasaran kedua terbesar bagi Indonesia dan Malaysia. India merupakan pasaran terbesar.

Indonesia telah giat mempromosi minyak sawit dalam pasaran baharu untuk menangani risiko kejatuhan permintaan dari Eropah, selain mempromosi penggunaan biodiesel yang lebih luas.