Rangkaian syarikat minuman kopi terkenal, Starbucks telah membuka 'kafe senyap' di Guangzhou pada akhir minggu lalu.

Pembukaan cawangan itu adalah sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk menyokong golongan kurang upaya dalam bidang pekerjaan.

"Ia mungkin Starbucks paling senyap antara 3,800 cawangan lain di China," kata Ketua Pegawai Operasi, Leo Tsoi.

Difahamkan, 14 daripada 30 staf di kafe terletak di daerah Yuexiu itu mengalami masalah cacat pendengaran.

Kafe itu juga mempunyai sistem tempahan khas yang membolehkan pelanggan membuat pesanan tanpa bercakap.

Sebagai contoh, kesemua minuman dan makanan diletakkan nombor serta pelanggan juga boleh menulis untuk memberitahu apa yang mereka perlukan.

"Kami tidak boleh mendengar apa yang anda katakan, namun kami mahu berkongsi keenakan kopi bersama anda. Saya percaya lebih ramai orang kurang bernasib baik seperti saya dapat mencari pekerjaan yang mereka suka pada masa depan," kata salah seorang kakitangan, Chen Siting. - Agensi