Berita  | Dunia

Ini yang dilakukan pakar konservasi British untuk selamatkan spesies amfibia

Ini yang dilakukan pakar konservasi British untuk selamatkan spesies amfibia
Pemasangan jaring tersebut membantu amfibia kecil menyelamatkan diri jika dibawa arus deras memasuki saliran air. - Reuters
WARWICK: Sekumpulan pakar konservasi British bertindak membela nasib hidupan liar, namun bukan yang bersaiz besar di hutan, tetapi haiwan kecil yang sifatnya merayap di jalanan kota.

Mereka peduli pada nasib spesies kecil seperti amfibia yang sering menjadi mangsa akibat dibawa arus lalu terperangkap ke dalam lubang saliran air, dan seterusnya mati.

Untuk tujuan itu, mereka melengkapkan bukaan longkang dan parit di sekitar kota dengan memasang struktur jaring kasar yang berfungsi sebagai tangga kecil bagi membolehkan amfibia seperti katak berpaut seterusnya menyelamatkan diri daripada perangkap maut.
Pasukan Amfibia dan Reptilia Warwickshire atau WART (Warwickshire Amphibian and Reptilian Team) berharap dengan usaha pemasangan jaring itu terutamanya di kawasan pembiakan haiwan tersebut di sekitar West Midlands, populasi amfibia dapat ditingkatkan.

“Spesies amfibia itu datang ke kawasan berkenaan untuk membiak. Ia terpaksa menggadai nyawa memanjat pembahagi jalan, menyeberang jalan, dan kemudian termasuk pula ke dalam mulut saluran air apabila dibawa arus deras. Jika itu berlaku, nyawa haiwan itu akan berakhir.

"Dengan memasang ‘tangga amfibia’ itu, ia membolehkan haiwan-haiwan itu memanjat keluar dari longkang tersebut dan seterusnya meneruskan ‘fitrah’ untuk membiak,” ujar petugas WART, Tim Jenkins.

Isu katak yang terperangkap lalu mati tidak terhad kepada Britain. Dalam satu kajian pada 2012 di Netherlands, setiap tahun, lebih daripada satu juta haiwan vertebrata seperti katak, newt atau salamander dibawa arus ke dalam saluran air deras lalu mati. 

Ia adalah salah satu faktor kemerosotan populasi katak sehingga 68 peratus di United Kingdom sepanjang tempoh 30 tahun lalu, selain faktor kehilangan habitat semula jadi.

“Peranan amfibia kecil dalam ekosistem sering dipandang sebelah mata. Haiwan-haiwan itu sebenarnya memainkan tugas cemerlang di taman-taman kerana menjadikan banyak makhluk perosak sebagai makanannya,” ujar Jenkins.

Tag: amfibia, populasi, habitat, ekosistem, pakar konservasi, british


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.