Ketika kelopak-kelopak berwarna-warni mula memekar sempena musim bunga ini, seluruh Netherlands diibaratkan bertukar menjadi landskap luar biasa.

Kawasan ladang di desa-desa kini diwarnai hamparan merah, putih, biru dan kuning yang mencetuskan satu tarikan pelancongan popular.

Lebih daripada sejuta pengunjung asing dijangka melawat negara yang berpopulasi 17 juta orang itu pada hujung minggu Easter. Ia merupakan satu rekod baharu, kata Biro Pelancongan Belanda pada Khamis.

Pengarahnya, Jos Vranken berkata, beliau menjangkakan para pelancong asing akan berbelanja sehingga 300 juta Euro, yang secara tidak langsung melonjakkan ekonomi negara itu.

Kebanyakan pelancong tertarik dengan muzium-muzium dan beberapa tarikan kebudayaan lain, namun pada April, ladang-ladang bunga dan pertunjukan bunga di Keukenhof, The Hague menjadi tumpuan utama.

Sementara pencinta bunga dan fotografi yang mengambil peluang itu untuk berkongsi di media sosial boleh mempromosi negara itu secara percuma, ada juga yang menzahirkan rasa bimbang.

Pandangan seperti ini menjadikan Netherlands sebagai destinasi impian ramai pelancong. - Reuters

Hamparan berwarna-warni dari pandangan udara. - Reuters

Pelancong rosakkan bunga


"Malangnya, ia ada satu prkara yang kurang enak. Para peladang mengadu mereka berdepan masalah kerosakan yang tinggi akibat perbuatan pelancong yang mengambil gambar,” ujar Vranken.

Para pelancong domestik dan antarabangsa kini menggunakan laman web Flower Radar untuk mengenal pasti ladang-ladang bunga yang mahu mereka kunjungi, terutamanya di pusat pengeluaran seperti di sekitar kawasan yang dipanggil Bollenstreek, di sepanjang pesisiran antara Haarlem dan Leiden.

Papan tanda dan penghadang dengan amaran dalam bahasa Inggeris dan Cina, yang tertera kata-kata ‘Nikmati Bunga, Hormati Kebanggaan Kami’ semakin banyak didirikan di ladang-ladang.

Pemilik ladang menegaskan bahawa perbuatan mengambil gambar dari tepi pagar adalah dibenarkan, tetapi dengan berjalan di antara pokok-pokok unga itu hanya akan merosakkannya.

Bagaimanapun, di beberapa ladang lain yang kurang dipromosi, melihat senario itu sebagai peluang keemasan.

Di Creil yang terletak di barat laut Amsterdam, ada pengusaha ladang tulip yang menyediakan kawasan khas untuk berswafoto dengan bunga-bungaan, selain menyediakan perkhidmatan lain seperti jelajah helikopter, gerai makanan dan minuman. Serta taman permainan untuk kanak-kanak.

Pemandangan seperti ini memang menjadi kesukaan para pencinta fotografi. - Reuters

Para pelancong digalakkan untuk bergambar, namun perlu disertai rasa tanggungjawab. - Reuters