Presiden Amerika Syarikat Barack Obama pada Sabtu mengecam tindakan keganasan bersenjata yang dianggapnya sebagai satu wabak di Amerika Syarikat susulan kejadian terbaharu pada Jumaat.

"Kita perlu lakukan sesuatu tentang akses mudah senjata perang di jalanan dalam kalangan mereka yang tidak berhak memilikinya.

"Cukuplah!" kata Obama dalam satu kenyataan.

Beliau mendedahkan bahawa penembak di Colorado Springs yang membunuh tiga mangsa dan mencederakan sembilan yang lain pada Jumaat lalu telah menggunakan senapang ala tentera.

Obama turut mendedahkan untuk kali pertamanya bahawa suspek kejadian tembakan itu telah menawan beberapa tebusan di sebuah pusat perancang keluarga di mana dia kemudian melepaskan tembakan ke arah orang ramai di luar bangunan ketika berbalas tembakan dengan polis.

Obama berkata kejadian itu amat menyedihkan kerana berlaku sehari selepas cuti Hari Kesyukuran di mana rakyat Amerika terpaksa menenangkan keluarga yang kehilangan orang tersayang akibat salah guna senjata.

"Namun, dua hari selepas Hari Kesyukuran, itulah yang kita terpaksa lagi lakukan," kata Obama.