Laman sosial Instagram gagal berfungsi seketika sekali gus menyekat pengguna untuk memuat naik gambar atau stories beberapa jam lalu.

Aplikasi itu juga hanya memaparkan ‘couldn’t refresh feed' setiap kali pengguna cuba untuk melihat posting terbaharu.

Cubaan untuk mendaftar keluar akaun juga gagal dilakukan termasuk mendaftar masuk kembali menggunakan akaun berlainan.

Gangguan berkenaan seperti biasa akan menimbulkan panik dalam kalangan pengguna sebelum beralih menghujani aplikasi Twitter untuk mencurahkan rasa kecewa dan panik mereka.

Ada juga dalam kalangan pengguna yang menyuarakan kebimbangan dan menyangka akaun mereka telah dipadamkan sebelum menyedari gangguan itu sebenarnya melibatkan semua pemilik Instagram seluruh dunia.

Bagaimanapun, di Malaysia, impaknya kurang disedari ekoran waktu gangguan berlaku semasa pengguna masih lagi tidur.

Terdahulu, pada Mei lalu, jutaan pengguna Instagram panik selepas menyedari berlaku gangguan beberapa menyebabkan aplikasi itu ‘lumpuh.’

Rata-rata pengguna dari Indonesia, Amerika Syarikat, Jepun termasuk beberapa negara Eropah berdepan dengan situasi itu sebelum bertindak melaporkannya di laman web Down Detector.

Semua fungsi aplikasi itu lumpuh menyebabkan laman web Down Detector dihujani ribuan komen yang rata-ratanya bertanya punca dan jangkaan gangguan akan pulih.