Pentadbiran Amerika Syarikat di bawah presiden pilihan Donald Trump tidak akan mengikut rancah retorik perkauman dan ekstrem individu mahupun penyokong hala kanan beliau.

Presiden Persatuan Malaysia Untuk Pengajian Amerika Syarikat (MAAS), Prof Dr K.S. Nathan berkata Amerika Syarikat mempunyai institusi pentadbiran yang berpengaruh dan berpengalaman.

Jelasnya, institusi pentadbiran negara kuasa dunia terbesar itu tidak akan membenarkan Trump untuk melakukan sesuka hatinya, terutamanya dalam isu polisi luar negara dan diplomasi.

"AS adalah negara demokrasi. Trump tidak boleh membuat apa sahaja yang beliau lakukan dan institusi-institusi ini tidak akan membenarkan beliau membahayakan negaranya.

"Dalam isu diplomasi, institusi sedia ada ini akan memastikan bahawa sebarang hubungan AS dengan negara-negara lain di serantau dunia dipelihara, terutamanya di Asia Tenggara kerana AS tidak mampu kehilangan rakan dikala pengaruh negara Cina bertambah kuat," katanya selepas majlis 'Diskusi Panel Donald Trump, AS Berpecah dan Dunia Terancam: Pandangan Awal dan Jangkaan' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pada Rabu.

Beliau yang juga pengarah di Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, Trump juga tidak dijangka boleh memberi ancaman kepada negara-negara Islam walaupun beliau pernah mengeluarkan kata-kata bersifat perkauman dan anti-Islam, terutamanya kepada masyarakat minoriti di AS.

"Trump tidak akan boleh mengasingkan negara-negara Islam sepanjang pentadbirannya kerana negara-negara Islam atau dengan penduduk Islam ramai adalah banyak dan hampir mustahil bagi beliau berbuat demikian tanpa membawa kerosakan kepada AS.

"Malah saya yakin bahawa institusi-institusi kerajaan AS tidak akan membenarkan perkara ini berlaku kerana ia akan merugikan mereka. Terdapat beberapa negara Islam yang mempunyai hubungan ekonomi dan diplomasi yang kuat dengan AS.

"Adalah mustahil bagi saya jika Trump akan menamatkan hubungan itu. Malah kita boleh lihat sendiri bagaimana beliau tidak lagi memberikan sebarang kenyataan negatif berhubung masyarakat Islam dan minoriti AS seperti yang beliau laungkan sepanjang kempennya.

"Ini kerana beliau sendiri mengetahui kerugian yang akan dialami beliau dan negara nya jika beliau menurut retorik kempennya," jelasnya.

Menurut ahli akademik di Jabatan Sejarah dan Peradaban UIAM, Prof Abdullahil Ahsan, corak politik di negara barat termasuk AS semakin mendekati pemahaman hala kanan yang bersifat perkauman, ekstrem dan tiada toleransi. Namun pemikiran hala kanan itu merupakan sebuah reaksi masyarakat yang semakin kecewa dengan tindakan pemimpin mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Walaupun masyarakat Barat menjadi semakin konservatif, saya berpendapat bahawa mereka tidak akan melakukan sebarang polisi luar yang bersifat agresif kepada negara-negara lain.

"Ketika ini, pengaruh China di benua Asia semakin kuat, terutamanya di Asia Tenggara, dalam sektor ekonomi dan diplomasi. Walaupun begitu, China tidak bersifat agresif dalam diplomasi dan saya tidak menjangka persaingan kuasa-kuasa besar ini akan memberi impak yang besar.

"Malah pada pendapat saya, negara-negara Asia harus mengambil peluang ini untuk berdiri sendiri dan tidak lagi mengikut telunjuk negara barat, terutamanya AS," katanya.