Iran menggesa tentera Syria dan kumpulan pemisah di Idlib, Syria bagi mencari penyelesaian bagi mengelak lebih banyak pertumpahan darah ketika ketegangan semakin memuncak di wilayah itu.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif membuat gesaan itu ketika tentera Syria yang menyokong Presiden Bashar al-Assad sedang meningkatkan serangan bagi mengambil semula wilayah itu yang dikuasai kumpulan pemisah.

Kenyataan itu dibuat Mohammad Javad di Damsyik, menjelang Sidang Kemuncak Konflik Syria yang dijadualkan 7 September ini.

Selain Iran, pemimpin dari Turki dan Rusia juga dijangka hadir pada persidangan itu yang menumpukan kepada situasi tegang di Idlib.

Iran merupakan penyokong kuat Bashar dalam perang saudara yang kini berlarutan ke tahun ketujuh menerusi penyaluran bantuan ketenteraan dan ekonomi.