Iran telah mengharamkan pengajaran bahasa Inggeris di semua sekolah rendah di negara itu.

Menurut Ketua Majlis Pendidikan Tinggi Iran, Mehdi Navid-Adham, keputusan dibuat susulan amaran dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi negara itu yang berkata pengajaran bahasa tersebut membuka ruang kepada 'penaklukan budaya' dari negara barat.

“Mengajar kurikulum bahasa Inggeris di sekolah rendah swasta mahupun kerajaan kini adalah bertentangan dengan undang-undang dan peraturan," kata Mehdi kepada sebuah saluran televisyen negara itu.

Katanya, larangan itu dikenakan atas dasar pendidikan sekolah rendah adalah asas untuk memupuk kebudayaan Iran dalam kalangan murid,.

Pengajaran bahasa Inggeris di negara itu pada kebiasaannya bermula di peringkat menengah iaitu ketika murid berusia sekitar 12 hingga 14 tahun, namun ada sesetengah sekolah rendah dan pusat jagaan kanak-kanak menjalankan sesi pembelajaran bahasa itu.

Sebahagian daripada murid turut mengambil kelas tambahan bahasa Inggeris selepas sesi persekolahan.

Pemimpin tertinggi negara itu sebelum ini sering mengeluarkan amaran mengenai ‘penaklukan budaya’ dengan pemimpin agungnya Ayatollah Ali Khamenei pernah menyatakan kemarahan apabila bahasa Inggeris diajar di pusat-pusat asuhan.

Khamenei berkata kritikannya itu bukan bermaksud beliau menentang pembelajaran bahasa asing tetapi ia dilihat sebagai usaha mempromosi budaya luar terhadap kanak-kanak dan golongan belia di negara itu.