Berita  | Dunia

Iran haramkan penggunaan media sosial asing di sekolah

Iran haramkan penggunaan media sosial asing di sekolah
Facebook dan Twitter kurang popular di Iran namun ia tetap disekat. - Gambar fail
TEHRAN: Kementerian Pendidikan Iran telah mengharamkan penggunaan rangkaian media sosial asing di sekolah-sekolah mereka bagi membataskan pengaruh luar untuk menembusi platform-platform dalam talian di negara itu.

Menurut menteri di kementerian itu, sekolah-sekolah di Iran mestilah menggunakan rangkaian media sosial domestik sahaja.  

Telegram merupakan rangkaian sosial yang paling popular di negara itu dengan jumlah pengguna bulanannya mencecah 40 juta.   

Iran tidak mahu murid dan pelajarnya terpengaruh dengan dakyah yang dibawa menerusi aplikasi media sosial global. - Reuters
Selain itu, Instagram juga sangat popular di Iran. Laman sosial yang kurang popular di negara itu seperti
Facebook dan Twitter telah disekat namun masih boleh diakses menggunakan virtual private network (VPN).  

Ketika gelombang pemberontakan yang melibatkan beberapa bandar di Iran pada awal tahun ini, pihak berkuasa Iran mengharamkan penggunaan Telegram buat sementara waktu kerana menganggap aplikasi itu merupakan medium penyebaran dakyah pemberontakan yang akan menimbulkan kekacuan. 

Ekoran itu, pihak berkuasa telah mengembangkan rangkaian media sosial Iran yang akan mengehadkan kebergantungan kepada platform media sosial asing.

Antara platform media sosial Iran adalah Soroush Network yang telah mempunyai lima juta pengguna. 

Soroush Messenger merupakan rangkaian media sosial domestik Iran yang telah mencapai lima juta pengguna.

Menteri Telekomunikasi Iran, Mohammad-Javad Azari Jahromi berkata kepada agensi berita negara itu bahawa rangkaian media sosial tempatan mempunyai kualiti yang setanding dengan media sosial asing dari segi perlindungan data peribadi dan keselamatan.

Agensi-agensi media di Iran turut menyokong agar lebih ramai warga Iran menggunakan rangkaian media sosial tempatan negara itu dengan meyakinkan pengguna bahawa aplikasi itu akan terus berfungsi walaupun aplikasi lain seperti Telegram mungkin akan diharamkan sekali lagi di negara itu.