Ketegangan politik telah memaksa Iran untuk mempertimbang menggantikan Emiriah Arab Bersatu (UAE), hab perdagangan tradisionalnya, dengan Qatar dan Oman, lapor agensi berita China Xinhua.

Iran kini berusaha untuk mengekang hubungan perdagangannya dengan UAE sejak negara berkenaan didakwa menekan peniaga Iran dengan cukai nilai tambah, pengeluaran visa dan sekatan perbankan, lapor Xinhua memetik Financial Tribune pada Ahad.

Awal bulan ini, Bank Negara Iran (CBI) telah mengetengahkan halangan-halangan yang diwujudkan oleh bank-bank UAE terhadap peniaga Iran, dan berkata Iran kini mencari alternatif dengan menggantikan UAE dalam urus niaga perbankannya.

Ketua Pengarah Hal Ehwal Antarabangsa CBI, Hossein Yaqoubi, telah menyarankan agar Qatar dan Oman menggantikan UAE sebagai hab utama perdagangan bagi Iran sejak hubungan dengan kedua-dua negara semakin berkembang.

Ketua Dewan Perniagaan Iran-Qatar, Adnan Musapour, berkata Qatar dan Oman mempunyai potensi untuk memudahkan perdagangan Iran dengan dunia "namun kita tidak boleh memutuskan hubungan perdagangan kita dengan UAE.''

Beliau berkata ini kerana negara Teluk Parsi itu merupakan satu-satunya pintu masuk Iran ketika dikenakan sekatan.

Data terkini yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Kastam Iran menunjukkan bahawa perdagangan antara Iran dan UAE mencecah US$12.9 bilion pada 2017.

Eksport Iran ke Qatar mencecah US$ 215 juta dalam tempoh 11 bulan sehingga 20 Feb, jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya iaitu US$ 92 juta.

Import dari Qatar menyaksikan pertumbuhan sebanyak 157 peratus dalam tempoh 10 bulan sehingga 21 21, dengan nilai import sebanyak US$ 21 juta.

Kerjasama perbankan, bagaimanapun, masih menjadi isu kepada peniaga Iran yang menyebabkan mereka beralih ke Qatar.

-- BERNAMA