Usaha Mesir untuk mengurangkan ketegangan dengan meneruskan gencatan senjata antara Israel dan Hamas, akhirnya membuatkan Israel membenarkan kemasukan semula barangan komersial ke Semenanjung Gaza.

Namun prospek wujudnya perjanjian antara Israel dan Hamas mencetuskan kebimbangan dalam pentadbiran Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, yang skeptikal sekiranya Hamas akan mengambil kesempatan.

Di sempadan lintasan Gaza-Israel, Kerem Shalom, pada pagi Rabu sudah terlihat aktiviti penghantaran buah-buahan dan sayuran, bahan api dan bahan binaan. Semua itu kembali memasuki kawasan yang dihuni oleh 2 juta penduduk, lapor Reuters.

Israel pada Selasa berkata, akan menarik balik larangan ke atas barangan komersial yang dikuat kuasa pada 9 Julai lalu.

Israel juga meluaskan zon penangkapan ikan Gaza dari 3 ke 9 batu nautika ke selatan dan 6 batu nautika ke utara perairan yang selama ini dikawal ketat oleh tentera laut rejim itu.

Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekian lama cuba melobi perjanjian damai yang komprehensif dalam usaha meghindari pertelingkahan dan menangani masalah ekonomi Gaza.