Israel dan Hamas berkata kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk melaksanakan satu gencatan senjata baru 72 jam pada Selasa, di tengah-tengah desakan berterusan masyarakat antarabangsa.

Persetujuan itu dicapai selepas satu perbincangan diadakan di Mesir pada Isnin, hanya beberapa hari selepas gencatan senjata pada Jumaat dicabuli dengan serangan ganas tentera rejim di Gaza.

Amerika Syarikat dalam reaksinya mengalu-alukan perkembangan terbaru itu namun memberi amaran kepada pihak Hamas untuk memastikan kali ini ia berjaya dikekalkan.

“Ini adalah peluang sebenar. Kami amat menyokong inisiatif ini,” kata Timbalan Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Tony Blinken kepada CNN.

Konflik berdarah yang masuk minggu keempat itu menyaksikan lebih 1,800 penduduk Palestin terbunuh, manakala di pihak tentera Israel, 64 anggotanya terbunuh. Ia meningkatkan tekanan kepada rejim Yahudi yang menerima kritikan hebat dari masyarakat antarabangsa agar menghentikan penindasan mereka itu.

“Berapa ramai lagi harus terkorban sebelum pembunuhan beramai-ramai di Gaza ini dapat dihentikan?” tanya Menteri Luar Perancis Laurent Fabius, ketika Britain dilaporkan berura-ura mahu menghentikan penjualan senjata kepada Israel.

Israel dan Hamas kedua-duanya mengesahkan kepada agensi berita AFP bahawa ia akan mematuhi gencatan senjata 72 jam itu.

“Israel akan mematuhi gencatan senjata pada Selasa bermula pada pukul 8.00 pagi (0500GMT),” seorang pegawai tentera Israel memaklumkan tanpa mahu dinamakan.

“Hamas telah memaklumkan pihak di Mesir beberapa minit lalu yang ia telah bersetuju dengan gencatan senjata 72 jam bermula Selasa,” jurucakap kumpulan itu, Sami Abu Zuhri berkata.

Ini turut disusuli dengan kenyataan timbalan ketua kumpulan Jihad Islam, Ziad al-Nakhale: “Gencatan senjata akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa jam lagi.”

Delegasi Palestin, termasuk Hamas, Jihad Islam dan Pihak Berkuasa Palestin kini berada di Mesir bagi membincangkan perincian perjanjian itu bersama pihak Israel.

Pihak Israel turut mengesahkan delegasinya juga kini berada di Mesir untuk tujuan itu.

Sementara seorang anggota kanan pergerakan Hamas, Ezzat al-Rishq berkata sebarang rundingan di Mesir adalah berdasarkan “tuntutan pihak Palestin,”. Hamas katanya akan terus berada di bumi Gaza.

Gencatan senjata terbaru ini juga diadakan selepas berakhirnya gencatan senjata sebelah pihak selama tujuh jam yang dilaksanakan Israel pada Isnin.

Israel bagaimanapun mendakwa Hamas telah melancarkan tidak kurang dari 42 roket ke arah wilayahnya sepanjang tempoh itu.

Israel melancarkan serangan besar-besaran di Gaza pada 8 Julai lalu, sebelum mengerahkan serangan darat sembilan hari kemudian.