Kabinet Israel dijangka mengisytiharkan Gaza sebagai wilayah musuh, laman sesawang Haaretz.com melaporkan.

Seorang pegawai kanan Israel berkata keputusan itu bermakna Israel tidak akan bertanggungjawab ke atas kerosakan yang dilakukan kepada penduduk di Gaza akibat tindakannya semasa operasi yang dinamakan Operation Protective Edge.

Resolusi itu dipaparkan ke laman sesawang Pejabat Perdana Menteri petang Khamis, tetapi beberapa jam kemudian diputuskan bahawa ia tidak akan dibawa sebagai usul di mesyuarat kabinet pada Ahad.

Pada tahun 2007, tiga bulan selepas Hamas berkuasa di Semenanjung Gaza, kabinet mengisytiharkan kawasan itu sebagai wilayah bergolak, mengadakan sekatan ke atas pergerakan penduduk dan barang dagangan serta bahan api ke kawasan tersebut.

Usul ini menyebut bahawa keputusan itu bertujuan "memberi ungkapan undang-undang tambahan kepada status Semenanjung Gaza selaras dengan undang-undang kerosakan sivil."

Penasihat undang-undang Kementerian Pertahanan, Ahas Ben-Ari, menulis dalam ruang pendapat yang dilampirkan kepada usul bahawa "kesukaran wujud di peringkat antarabangsa di mana pengisytiharan itu akan disalah anggap sebagai percubaan oleh Israel untuk mengelak daripada bertanggungjawab memeriksa dakwaan melanggari syarat peraturan konflik bersenjata."

Ben-Ari berkata mukadimah draf undang-undang itu akan menyelesaikan masalah ini.

Mukadimah itu menyatakan perisytiharan ini "tidak akan menjejaskan kewajipan Israel untuk menyiasat dakwaan pelanggaran peraturan konflik bersenjata. Keputusan ini tidak mengurangkan sama sekali kewajipan itu."

Menurut Kementerian Pertahanan, keputusan itu akan mengurangkan sumber yang diperlukan untuk menghadapi tindakan guaman yang mungkin dibawa oleh rakyat Palestin ekoran kerosakan yang telah dan akan dilakukan Tentera Israel (IDF).

Ben-Ari menulis bahawa "kebanyakan tindakan guaman ini dalam apa jua keadaan ditolak kerana ia adalah akibat daripada tindakan perang."

Ben-Ari juga menulis bahawa kerosakan oleh IDF "berpunca daripada tindakan Hamas yang menempatkan pos perintah, stor senjata dan tapak pelancaran roket di kawasan terbangun di Semenanjung Gaza, bersembunyi di belakang orang awam yang tidak bersalah dan menghalang mereka daripada meninggalkan kediaman mereka."