Israel pada Selasa mengumumkan perancangan untuk membina lagi 2,500 petempatan haram di Tebing Barat, iaitu pengumuman kedua seumpamanya selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengambil alih tampuk pentadbiran tertinggi White House.

Dalam satu kenyataan daripada Kementerian Pertahanan Israel, keputusan itu dibuat semata-mata untuk memenuhi permintaan perumahan baharu ‘untuk meneruskan kehidupan harian biasa’.

Kebanyakan struktur pembinaan itu, menurutnya, adalah kesinambungan blok petempatan sedia ada yang Israel mahu terus kuasai, walaupun selepas mengadakan rundingan damai dengan Palestin nanti.

Bagaimanapun, maklumat terperinci daripada pejabat perdana menteri menunjukkan sebahagian besar rancangan perumahan itu akan dilaksanakan di luar kawasan sedia ada.

Pada Ahad, Trump telah berhubung dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu melalui telefon.

Pada Selasa, jurucakap Trump enggan mengeluarkan kenyataan tentang pengumuman petempatan tersebut namun berkata kedua-dua pemimpin itu akan membincangkan perkara itu di Washington bulan depan.

Ditanya sama ada Trump menyokong pengumuman Israel itu, Setiausaha Media White House Sean Spicer memberitahu wartawan: “Israel terus menjadi sekutu pemnting AS. Beliau (Trump) mahu berkembang bersama Israel.”

Kira-kira 350,000 rakyat Israel tinggal di Tebing Barat dan lagi 200,000 di timur Baitulmaqdis, yang telah dirampas Israel pada tahun 1967 dalam perang Asia Barat.

Jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rdainah, mengutuk pengumuman Israel itu dan menegaskan akan berlaku kesan rangtaian. Tebing Barat dan Timur Baitulmagdis juga adalah rumah kepada lebih daripada 2.6 juta rakyat Palestin.