Pesawat tentera Israel menyerang pangkalan Hamas di Semenanjung Gaza pada awal Sabtu.

Tindakan terbaharu rejim Zionis ini telah meragut nyawa seorang kanak-kanak dan mencederakan dua orang lagi, menurut jurucakap Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qudra sepertimana dilapor AFP.

Yasin Abu Khussa, 10 tahun, yang tinggal berdekatan kawasan sasaran maut, manakala adiknya Yasmin, 6, cedera parah dan abangnya Ayub, 13, cedera ringan.

Serangan dibuat beberapa jam selepas empat buah roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza oleh militan Palestin ke arah Israel pada malam Jumaat, namun tiada kecederaan dan kemusnahan dilaporkan.

"Sebagai tindakan balas ke atas serangan itu, Tentera Udara Israel mensasarkan empat kawasan Hamas di utara Semenanjung Gaza," lapor satu kenyataan tentera Israel.

Sejak berakhirnya perang di antara militan Israel dan Palestin pada musim panas 2014, kira-kira 34 roket dilancarkan dari kawasan pinggir pantai Palestin yang dikawal Hamas, menurut satu laporan pihak tentera.

Militan Islam Sunni yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Daish dilapor mengaku terlibat, tetapi Israel mendakwa Hamas bertanggungjawab dalam serangan tersebut.