Kematian si ayah yang pada mulanya disangka atas sebab biasa rupanya menyimpan rahsia yang tidak disangka.

Bagi seorang anak di Sumenep, Indonesia, tidak terdetik di fikirannya bahawa orang yang disayanginya itu dibunuh oleh orang yang pernah mengandungkannya.

Rahsia tindakan keji si ibu, yang dikenali sebagai IS, 40, terbongkar juga apabila anaknya menemukan serbuk campuran sama seperti dalam minuman yang diberikan kepada si ayah.

Mangsa yang dikenali sebagai Mistoyo, 45, warga Dusun Jandir, Desa Batang-Batang Laok, Kecamatan Batang-Batang, Sumenep, Madura ditemukan anaknya Hosiatun dalam keadaan kejang dengan mulut berbuih di bilik tidur.

Serbuk yang dijumpai di dalam sebuah sampul di bilik tidur ibunya itu didapati mengeluarkan bau sama seperti dalam sisa minuman ayahnya.

Apabila sisa itu diberikan kepada seekor ayam, haiwan itu terus menggelupur dan mati selepas beberapa minit.

Perkara itu segera dilaporkan kepada pihak polis.

Ketika ditahan, si ibu dilaporkan mengakui perbuatannya meracun suami untuk tinggal bersama dengan teman lelakinya.

Menurut suspek, dia memberikan suaminya minuman soda dicampur susu dan racun ikan.

Mangsa, Mistoyo yang ketika itu masih berbaring di kamar pantas menegak minuman yang diberi isterinya.

Selepas melihat mangsa mengalami kekejangan dan mulutnya berbuih, suspek terus keluar dari rumah.