Singapura memulakan siasatan jenayah ke atas Goldman Sachs Group Inc dalam penyiasatan meluas negara itu berkaitan aliran dana berkait syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor Bloomberg.

Polis negara itu sudah meneliti hubungan Goldman Sachs dengan 1MDB sejak akhir 2017, namun sehingga kini masih belum memberikan tumpuan siasatan ke atas unit bank itu di Singapura, menurut sumber yang dipetik Bloomberg yang enggan dikenali.

Pihak berkuasa Singapura kini cuba menentukan sama ada sebahagian daripada yuran S$600 juta (RM2.5 bilion) daripada tiga bon diterbitkan 1MDB dari tahun 2012 sehingga 2013 mengalir ke unit tempatan di Singapura.

Minggu ini, pendakwa Malaysia memfailkan tuduhan terhadap Goldman Sachs berkaitan peranannya mengatur tiga bon itu untuk memperoleh AS$6.5 bilion (RM27.16 bilion) bagi 1MDB.

Malaysia pada Jumaat dilaporkan sedang menuntut ganti rugi sebanyak RM31.34 bilion daripada Goldman Sachs.

Inilah kali pertama tindakan jenayah diambil terhadap bank Amerika Syarikat itu dalam skandal berkenaan.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) pada awal November mendakwa bekas jurubank Goldman Sach, Tim Leissner dan seorang lagi bersama ahli perniagaan yang kini menjadi buruan, Jho Low, atas pelbagai tuduhan jenayah berkaitan skandal 1MDB.