PERNAHKAH anda sedang memikirkan sesuatu, dan kemudian cuma sekali membuat carian mengenainya di Internet, seterusnya, sejak itu menerima banyak cadangan dan iklan berkaitan dengan keinginan atau keperluan anda tersebut di susur masa media sosial anda?

Mengawal aliran maklumat untuk memonopoli keuntungan pengiklanan, ‘menafikan’ potensi pesaing dalam pelbagai bidang, dan seterusnya ‘membunuh’ operasi surat khabar di seluruh dunia.

Itulah antara dakwaan yang kini dihadapi oleh Google dan Facebook, susulan tindakan Peguam Negara Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu mengumumkan siasatan terhadap dua syarikat teknologi tersebut.

Portal berita Guardian melaporkan, kisah siasatan pihak berkuasa itu adalah pertama seumpamanya bagi rakyat Amerika yang sudah melihat kewujudan dua entiti besar itu sebagai suatu ancaman, seterusnya meningkatkan lagi tekanan agar kedua-dua syarikat itu dipecahkan.

Keuntungan global Facebook akan mencecah lebih AS$60 bilion tahun ini, manakala Google adalah lebih AS$110 bilion. Kebanyakan wang itu dahulunya diperuntukkan untuk dunia penerbitan. Maka, bagaimana Google dan facebook mengawal keuntungan iklan ini?

Secara asasnya, fungsi pengiklanan kedua-dua syarikat itu terhubung dengan produk berkaitan konsumer yang luas. Google mempunyai lapan produk dengan lebih sebilion pengguna, manakala Facebook mempunyai empat produk dengan lebih sebilion pengguna lagi.

Berlatarkan mekanisme model perniagaan yang rumit, pucuk pangkalnya adalah mereka akan meletakkan iklan di hadapan pengguna apabila pengguna cuba berkomunikasi atau mencari maklumat tentang sesuatu yang dikehendaki.

BACA: Gagal lindungi data pengguna, Facebook didenda AS$5 bilion

Dari situlah Google dan Facebook bukan saja mendapat banyak pertumbuhan keuntungan iklan atas talian, malah secara praktikal mengawal keseluruhannya.

Input paling berharga bagi pengiklan adalah apabila dapat mengetahui siapa yang menonton iklan itu. Jika anda tahu siapa yang menonton, anda boleh melaburkan lebih banyak wang untuk menghasilkan iklan yang khusus untuk memenuhi minat seseorang pengguna.

Itulah yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam aliran trend pengiklanan dalam dunia media sekarang ini, yang menyaksikan media bukan digital tidak lagi relevan bagi memenuhi sasaran pengiklan.

Dengan ketidakseimbangan ini, menurut laporan Guardian, kedua-dua Google dan Facebook kini boleh memujuk atau memaksa jutaan syarikat penerbitan untuk berkongsi data audiens mereka, seterusnya menyaring data itu berdasarkan pilihan mereka.

Dalam erti kata lain, Google dan Facebook bersaing dengan syarikat penerbitan lain untuk keuntungan pengiklanan dan memaksa syarikat penerbitan itu menyerahkan data tentang pembaca dan pelanggan mereka. Itulah input yang sangat bernilai pagi pihak pengiklan.

Berbalik kepada perkembangan siasatan berkaitan isu pelanggaran antipersaingan Google dan Facebook, adakah ia akan membawa kepada pemecahan satu entiti yang besar, seterusnya mengubah trend pengiklanan semasa?

Atau adakah perkembangan baharu itu akan membawa harapan kepada demokrasi dan kebebasan dunia media?

Dalam isu berkaitan, sejak tahun 2007, hampir separuh kerjaya kewartawanan di AS telah terhapus. Daripada 3,000 daerah di Amerika, dua per tiga sudah tidak memiliki surat khabar harian. Banyak syarikat penerbitan sudah tidak mampu lagi bersaing.

Setiap sektor yang memproses berita kini sedang menyusut, bukan kerana permintaan terhadap berita menurun, namun kerana trafik pembaca dan keuntungan pengiklanan buat masa ini semakin terlalu tertumpu kepada dua syarikat tersebut – Google dan Facebook.