Jalinan diplomatik 60 tahun antara Malaysia dan Filipina akan terus diperkukuh hasil kerjasama dua hala antara negara-negara itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata antara perkara yang menjadi fokus kedua buah negara termasuk dalam bidang ekonomi terutama pelaburan daripada syarikat swasta.

Menerusi pertemuan dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, Dr Mahathir menjelaskan terdapat pelbagai peluang perniagaan dan pelaburan yang perlu diterokai oleh kedua-dua buah negara.

“Saya percaya, masih ada ruang untuk ditambah baik (dalam bidang ekonomi) dan hasil pertemuan saya dengan Duterte, kami amat menggalakkan sektor swasta dari kedua-dua negara untuk meneroka peluang baharu serta menjalin kerjasama pelaburan.

“Salah satu kerjasama yang boleh diberi keutamaan adalah dengan meningkatkan perhubungan, yang mana ia amat penting dalam menggalakkan pembangunan ekonomi.

“Malaysia dan Filipina komited untuk terlibat secara aktif Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA) dan akan menggunakan platform ini untuk membantu Pihak Berkuasa Pembangunan Mindanao (MINDA),” katanya ketika menyampaikan kenyataan media bersama pada lawatan di Istana Malacanang, Manila pada Khamis.

Bercakap soal pembangunan Mindanao, Dr Mahathir berkata penubuhan Wilayah Autonomi Islam Mindanao Bangsamoro (BARMM) bakal memacu kerjasama ekonomi kedua-dua buah negara.

“Saya memberi jaminan kepada Presiden bahawa Malaysia akan terus membantu dalam membangunkan Wilayah Mindanao.

“Saya juga berterima kasih kepada Duterte atas kejayaan meratifikasi Undang-undang Organik Bangsamoro (BOL) dan pelantikan ahli dalam Pihak Berkuasa Peralihan Bangsamoro (BTA),” katanya lagi.

Justeru Dr Mahathir amat mengharapkan proses peralihan yang lancar antara Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) kepada kerajaan sementara, BARMM.

Mengulas lanjut katanya, antara perjanjian persefahaman (MoU) yang sedang dimuktamad antara dua kerajaan adalah berkenaan kerjasama dalam bidang kesihatan yang mana Malaysia menjadi antara destinasi pilihan rakyat Filipina.

“Saya dan Presiden turut menekankan isu kepentingan pendidikan. Kami membincangkan program-program kepada guru dan pelajar di madrasah terutama di Mindanao,” ujarnya.

Malah, kedua-dua pemimpin turut menekankan isu keselamatan di mana Malaysia komited dalam mengambil langkah menangani keganasan dan ekstremism melalui Perjanjian Kerjasama Tiga Hala dengan Indonesia.