Kerajaan Myanmar memutuskan untuk menghentikan penghantaran pekerja negara itu ke Malaysia.

Ia susulan pendirian Kuala Lumpur meningkatkan tekanan ke atas negara itu berhubung isu etnik Rohingya.

Menurut laporan Myanmar Times, pengumuman itu dibuat Kementerian Buruh, Imigresen dan populasi Myanmar dalam satu kenyataan semalam.

Laporan itu memetik kenyataan Persekutuan Agensi-agensi Pekerjaan Luar Negara Myanmar yang berpendapat syarikat-syarikat di Malaysia bakal berdepan kesukaran susulan pembekuan itu.

Dua hari lalu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengadakan pertemuan dengan presiden Myanmar, Htin Kyaw di kediaman presiden di Naypyitaw.

Pertemuan itu dikatakan bertujuan meredakan ketegangan susulan pendirian tegas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada himpunan solidariti ummah untuk Rohingya Ahad lalu.