ANAK perempuan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Ivanka Trump yang kini berada di Berlin untuk persidangan Women 20 (W20) di Berlin disambut dengan ejekan apabila beliau cuba mempertahankan sikap ayahnya terhadap golongan wanita.

Apabila Ivanka ditanya moderator persidangan itu sama ada Trump boleh dilihat sebagai jaguh hak sama rata, Ivanka menegaskan ayahnya adalah 'seorang juara yang hebat' dari segi isu keluarga dan kepimpinan wanita.

Difahamkan, soalan itu merujuk kepada kontroversi yang tercetus Oktober lalu, apabila bocor rakaman audio Trump bercakap besar tentang serangan seksual terhadap wanita - sehingga memberi kesan ketika kempen Presidennya.

Ivanka turut namakan bilangan wanita yang diambil kerja untuk jawatan kanan di syarikat Trump dan sokongan ayahnya terhadap perniagaan beliau sendiri.

Bagaimanapun, respons itu tidak menerima sambutan yang hebat daripada penonton yang hadir. Malah, Ivanka diejek dan dibantah apabila beliau membuat kenyataan tersebut.

Bukan itu sahaja, Ivanka turut mencetus kemarahan penonton apabila beliau mempersalahkan pihak media atas dakwaan yang tidak benar.

“Saya mendengar pelbagai kritikan daripada media, dan itu akan berterusan,” katanya kepada penonton.


Di media sosial, netizen turut mengkritik kenyataan Ivanka itu.