Turki pada Jumaat memberi amaran tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana negara yang cuba membantu musuhnya.

Negara terbabit akan menerima padah sama yang diterima kumpulan pengganas.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata Perancis telah mengambil langkah yang salah dalam usaha perdamaian di Syria.

Ia susulan pengumuman Presiden Emmanual Macron yang menyatakan sokongan terhadap kumpulan pemberontak Syria yang dikuasai puak Kurdish.

"Kami sangat sedih dengan pendekatan yang benar-benar salah yang ditunjukkan oleh Perancis.

"Kami berharap ia adalah akibat salah faham dan bukan sebaliknya," jelasnya.

Pada Khamis, Macron memberi jaminan sokongan kepada Pasukan Demokrasi Syria (SDF) yang dikuasai oleh Kumpulan Kurdish YPG.

Campur tangan Perancis itu bertujuan untuk menstabilkan wilayah timur Syria yang dikuasai militan Daish.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Bekir Bozdag berkata Turki menggesa rakan Eropahnya itu agar mempertimbang semula keputusan tersebut.

"Sesiapa sahaja yang cuba bekerjasama dan bersolidariti dengan kumpulan pengganas yang menentang Turki akan turut dilabel sebagai pengganas.

"Mungkin mereka juga akan turut menjadi sasaran operasi membanteras pengganas yang digerakkan Turkim," jelasnya dalam satu muat naik di laman Twitter pada Jumaat.