Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mengancam mahu memotong dana bantuan kepada negara-negara yang menyokong draf resolusi bagi membatalkan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

"Mereka menerima jutaan malah berbilion dolar dari Amerika, dan kemudian mereka mengundi untuk menentang negara ini.

"Biarkan mereka mengundi menentang Amerika, kita akan menjimatkan wang, saya tidak peduli," kata Trump dalam satu sidang media di White House.

Kenyataan keras ini dibuat menjelang pengundian di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) berhubung resolusi mengenai status Baitulmaqdis pada Khamis.

Draf resolusi berkenaan tidak menamakan mana-mana negara tetapi menyatakan sebarang keputusan berhubung Baitulmaqdis perlu dibatalkan.

Palestin memohon pengundian khas di UNGA selepas AS menggunakan kuasa veto ke atas draf resolusi membatalkan tindakan negara itu iktiraf Baitulmaqdis sebagai milik Israel.

Undian di Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada Selasa menyaksikan 14 negara anggota menyokong draf resolusi berkenaan.

Tidak seperti UNSC, resolusi di UNGA tidak mengikat dari segi perundangan namun ia menterjemah pandangan dunia secara keseluruhan.

Duta AS ke PBB, Nikki Haley sebelum ini memberi amaran akan memerhatikan negara-negara yang menyokong draf resolusi berkenaan.

Israel menduduki timur Baitulmaqdis yang sebelum ini dikuasai Jordan, selepas perang 1967, dan menganggap kota berkenaan sebagai ibu negaranya.