Kes HIV dan jangkitan melalui hubungan seks (STI) dalam kalangan kumpulan tertentu, terutamanya anak muda, sedang meningkat di Thailand, demikian menurut kajian terbaharu yang dikeluarkan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Thailand.

Hasil kajian itu menunjukkan kira-kira 70 peratus kes baharu STI melibatkan mereka berusia antara 15 dan 24 tahun terutamanya dalam kalangan lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki, anak muda yang terlibat dengan kerja seks dan mereka yang mengambil dadah secara suntikan.

“Ketiadaan kemahiran hidup untuk mengawal keadaan berisiko serta penggunaan alkohol dan dadah sering meletakkan golongan muda dalam kelompok lebih berisiko tinggi untuk menghidap HIV dan STI.

“Selain itu, media sosial, laman web untuk janji temu dan aplikasi mudah alih menjadikan anak muda lebih mudah bertemu satu sama lain untuk melakukan hubungan seks," kata Ketua HIV Unicef Thailand, Robert Gass.

Kajian bertajuk “Situational Analysis of Young People at High Risk of HIV Exposure in Thailand” itu mengumpul data daripada kira-kira 2,000 anak muda termasuk lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis (MSM), transgender, wanita yang melacurkan diri kerana wang, pekerja migran dan mereka yang mengambil suntikan dadah di Wilayah Bangkok, Chiang Mai, Songkhla dan Ubon Ratchathani.

Kajian oleh Thammasat University dengan sokongan Unicef itu menggunakan kumpulan fokus dan temu bual bersemuka untuk mengenal pasti dan lebih memahami tingkah laku berisiko tertentu, di samping mengkaji semula dan mencadangkan dasar serta respons pragmatik yang perlu diwujudkan untuk kumpulan tertentu yang menghadapi risiko berkenaan.

Kajian itu menggunakan data kebangsaan yang menunjukkan bahawa lebih kurang 41 peratus jangkitan baharu HIV di Thailand melibatkan lelaki homoseks.

Ia juga mengumpul bukti yang menunjukkan bahawa MSM muda melakukan hubungan seks sejak usia muda lagi, selalunya lebih awal daripada rakan sebaya mereka yang telibat dengan seks heteroseksual.

Pongthorn Chanlearn, Pengarah Eksekutif Mplus Foundation iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menggalakkan kesihatan seksual dalam kalangan MSM dan transgender di Wilayah Chiang Mai, berkata walaupun kebanyakan anak muda sedar penggunaan kondom untuk melindungi diri daripada bahaya adalah penting, namun selalunya mereka keberatan untuk membeli atau tidak menggunakannya ketika melakukan hubungan seks.

Dalam kalangan pekerja seks di Thailand, kes jangkitan HIV menurun daripada 2.8 peratus pada 2008 kepada 1.8 peratus pada 2011 kerana pekerja seks lebih suka menggunakan kondom apabila melakukan hubungan seks dengan pelanggan mereka berbanding apabila melakukannya dengan pasangan tetap, lapor kajian itu.

Selain itu, ia juga mendapati kebanyakan wanita muda yang sekali sekala menjual diri untuk wang, sering menghadapi masalah apabila meminta pasangan mereka menggunakan kondom.

Apabila seseorang pekerja seks mendapat jangkitan, kebarangkaliannya memindahkan penyakit berkenaan kepada pasangannya turut meningkat.

Di Thailand sekarang, kira-kira-kira satu pertiga daripada jangkitan baharu berlaku dalam kalangan pasangan individu yang mempunyai risiko tinggi dijangkiti HIV.

Kajian itu juga mendapati pekerja migran adalah antara kumpulan paling terdedah kepada risiko kerana tidak mempunyai pengetahuan tentang cara mencegah HIV dan STI.

Gambaran umum dalam kalangan semua kumpulan anak muda yang terlibat dengan kajian itu ialah mereka melalui pengalaman negatif daripada hospital awam.

Kebanyakan mereka menceritakan tentang pengalaman penjagaan kesihatan yang tidak mempunyai kerahsiaan dan bersifat mesra serta stigma pekerja penjagaan kesihatan terhadap tingkah laku mereka.

Ini sering melemahkan minat mereka untuk mendapatkan intervensi pencegahan HIV yang diperlukan melalui perkhidmatan penjagaan kesihatan awam.

UNICEF berpendapat Thailand amat memerlukan langkah perlindungan lebih berkesan serta pemeriksaan dan program rawatan sewajarnya untuk anak muda bagi mengekang peningkatan kadar jangkitan HIV dan STI.

Bagaimanapun, program itu perlu disusun di peringkat komuniti dengan pembabitan anak muda sendiri bagi memastikan keperluan mereka dipenuhi.

“Berdasarkan syor yang dikemukakan kajian itu, kami menyeru supaya usia untuk memberi keizinan melakukan ujian HIV dan kaunseling dikurangkan daripada 18 tahun ketika ini.

"Sekiranya seseorang anak muda merasakan dia terlibat dengan aktiviti yang boleh meletakkan dirinya berisiko mendapat HIV, maka dia berhak mendapatkan ujian itu tanpa memerlukan keizinan ibu bapa," kata Gass.