Jasad pelakon popular Singapura, Aloysius Pang yang meninggal dunia ketika menjalani latihan ketenteraan di New Zealand telah dibawa pulang ke Singapura menerusi penerbangan khas.

Menurut laporan Channel News Asia, jasad Pang dibawa meninggalkan Hospital Waikato untuk dibawa ke pusat perkhidmatan pengebumian pada petang Khamis selepas pihak berkuasa bersetuju untuk tidak meneruskan proses bedah siasat atas permintaan keluarga.

Pang, 28, meninggal dunia pada Khamis selepas empat hari bertarung nyawa apabila mengalami kecederaan parah ketika menjalani latihan ketenteraan Angkatan Tentera Singapura (SAF).

Kementerian Pertahanan Singapura dalam satu majlis sidang media mengatakan Pang mengalami cedera parah akibat dihimpit laras meriam semasa melakukan kerja-kerja pembaikan meriam Howitzer Gerak-Sendiri Singpura (SSPH).

BACA: Pelakon popular Singapura maut selepas cedera semasa latihan khidmat negara

BACA: Mayat Aloysius Pang dibawa pulang selepas bedah siasat

Menurut Panglima Tentera Darat Singapura, Mejar Jeneral Goh Si Hou, ketika kejadian Pang bersama seorang lagi juruteknik dan seorang komander sedang berada dalam kabin SSPH ketika kerja penyelenggaran meriam perisai itu.

Jasad Pang dibawa pulang dengan penerbangan khas Tentera Udara Singapura KC-135 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland menjelang tengahari waktu tempatan.

Channel News Asia turut memetik pengurus Pang, Dasmond Koh sebagai berkata terdapat perancangan untuk mengadakan sesi memperingati Pang buat peminatnya.