Amerika Syarikat (AS) telah menjatuhkan ‘ibu segala bom’ iaitu senjata bukan nuklear terbesar yang pernah digunakan dalam pertempuran, ke atas rangkaian terowong dan ruang bawah tanah yang menjadi tempat persembunyian kumpulan militan Daish di timur Afghanistan pada Khamis.

Presiden Donald Trump menyifatkan pengeboman itu sebagai bukti polisi luar AS yang lebih hebat sejak beliau menyandang jawatan nombor satu itu pada Januari lalu, lapor Reuters.

Bom GBU-43 seberat lebih 9,700 kilogram itu yang mengandungi 11 tan bahan letupan, dijatuhkan dari pesawat MC-130 di daerah Achin dalam wilayah Nangarhar, dekat dengan sempadan Pakistan, ujar jurucakap Pentagon, Adam Stump.

GBU-43, yang juga digelar ‘ibu segala bom’, adalah senjata yang dipandu sistem kedudukan global (GPS) dan kali pertama diuji pada Mac 2003.

Ia sangat berkesan untuk sasaran berkelompok sama ada di atas atau di bawah tanah. Terdapat jenis bom lain yang lebih berkesan untuk memusnahkan terowong yang lebih dalam dan kukuh.

Gambar menunjukkan kesan letupan bom GBU-43 ketika diuji pada November 2003 di Florida. AS. - Reuters

Ini merupakan kali pertama AS menggunakan bom konvensional sebesar itu dalam konflik.

Trump menyifatkan pengeboman itu sebagai misi yang sangat berjaya, namun tidak dinyatakan skala kemusnahan yang terjadi.

Semasa kempen kepresidenan AS tahun lalu, Trump berikrar untuk memberi keutamaan dalam memerangi Daish, yang banyak beriperasi di Syria dan Iraq. Pada minggu lalu, kekuatan ketenteraan AS ditunjukkan dalam serangan ke atas tentera kerajaan Syria.

"Jika anda lihat apa yang berlaku dalam lapan minggu lalu, dan membandingkannya dengan tempoh lapan tahun lalu, anda akan menyaksikan perbezaan ketara," ujar Trump dalam sidang media di White House pada Khamis.

Situasi keselamatan masih goyah di Afghanistan, dengan banyak kumpulan militan cuba menguasai kawasan selepas 15 tahun AS melumpuhkan rangkaian Taliban.

Setakat ini, Trump tidak memberi penjelasan terperinci tentang strategi ketenteraan ke atas Afghanistan.