Indonesia akhirnya bersetuju menerima bantuan antarabangsa dalam usaha memadamkan kebakaran hutan dan tanah ladang yang menyebabkan beberapa negara di Asia Tenggara diselubungi jerebu.

Sebelum ini, republik itu menyatakan bahawa masalah tersebut mahu ditangani sendiri namun kesan yang berlaku adalah sebaliknya.

Situasi ini telah menyebabkan negara tetangga seperti Malaysia dan Singapura mengalami pencemaran udara teruk lalu memaksa penutupan sesi persekolahan dan membatalkan acara di tempat terbuka.

Bencana tahunan akibat daripada pembakaran tanah ladang secara haram itu diburukkan lagi dengan impak cuaca El Nino yang mencetus keadaan panas kering di Indonesia.

Jakarta telah mengerahkan sekitar 25,000 anggota dan pesawat untuk melawan kebakaran di Sumatera Selatan dan Kalimantan, namun usaha itu jelas tidak memadai.

Ketegangan meruncing antara Jakarta dengan negara tetangga, termasuk tindakan sebuah rangkaian pasar raya terbesar Singapura pada Rabu yang bertindak menarik balik penjualan produk kertas keluaran syarikat dari Indonesia yang didakwa menyebabkan jerebu.

Dalam sebuah mesyuarat Kabinet republik itu pada Rabu, Presiden Joko Widodo telah mengumumkan kesediaan menerima bantuan antarabangsa.

“Telah dipersetujui bahawa kami akan bekerjasama dengan beberapa rakan dalam usaha mengekang kebakaran hutan.

"Kami sedang bekerja dengan beberapa negara termasuk Singapura,” kata juruckap Kementerian Luar Armanatha Nasir kepada AFP.

Tambahnya, negara-negara lain yang mungkin boleh membantu Indonesia dalam menangani masalah itu ialah Malaysia, Rusia, Australia dan China, namun ia belum dimuktamadkan.

“Kaedah bantuan yang diperlukan adalah seperti bom air dan pembenihan awan memandangkan kawasan yang terjejas kali ini adalah jauh lebih luas berbanding tahun-tahun sebelumnya,” ujar Dwipayana.