Belasan ribu penduduk tempatan di sekitar Pontianak, Kalimantan, Indonesia telah digegaskan ke hospital untuk mendapatkan rawatan gara-gara Indeks Pencemaran Udara di kawasan tersebut merekodkan bacaan 1,200 beberapa hari lalu.

Wartawan Kompas TV Dea Citra Rahmatika sewaktu dihubungi Buletin AWANI pada Sabtu memberitahu, keadaan itu sangat membimbangkan rakyat tempatan khususnya warga tua dan kanak-kanak serta membahayakan golongan yang mempunyai masalah pernafasan.

“Di Pontianak, keadaan kabut asap sudah berkurangan berbanding beberapa hari lalu. Jika sebelum ini jarak pandangan hanyalah 200 hingga 300 meter, hari ini situasinya lebih baik iaitu 400 hingga 700 meter.

“Indeks Pencemaran Udara pada hari ini walaupun semakin baik tetapi masih dalam paras sangat berbahaya. Pada dua hari lalu, keadaan sangat membimbangkan kerana IPU mencapai angka 1,200. Memang di Kalimantan Barat sendiri belasan ribu orang sudah masuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat sakit saluran pernafasan,” ujar Dea Citra.

Jelasnya, Presiden Indonesia Joko Widodo telah mengarahkan tindakan segera dibuat bagi menangani krisis bencana itu seperti pembenihan awan dan penggunaan bom air secara berterusan.

“Di Kalimantan Barat, bom air bahkan dilakukan dua kali sehari. Walau belanjanya cukup besar, tapi ia menunjukkan hasil yang baik berdasarkan pengurangan titik panas daripada 223 menjadi 18,” katanya.

Pemerintah republik itu turut mengerahkan tenaga Tentera Nasional Indonesia (TNI) terus ke kawasan kebakaran di Sumatera dalam usaha memadamkan api sehingga 24 September.

Tambah Dea, masyarakat di Sumatera dan Kalimantan mengharapkan hujan lebat terjadi segera namun sehingga kini Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia belum mengumumkan sebarang potensi berlakunya sedemikian.