Kerajaan Singapura telah menghantar notis kepada empat syarikat Indonesia yang terbabit dengan pencemaran jerebu, seperti yang diperuntuk oleh Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA).

Menurut THPA pencemaran jerebu dikatakan berlaku jika Indeks Standard Pencemaran (PSI) 24 jam kekal pada bacaan 101 atau lebih tinggi bagi tempoh 24 jam berterusan atau lebih lama.

Berdasarkan kepada peruntukan THPA, pencemaran jerebu di negara ini telah berlaku dalam empat tempoh sejak 10 September lepas.

Dalam kenyataannya hari ini, Agensi Alam Sekitar Singapura (NEA) berkata ia sedang menjalankan siasatan dan mengumpul bukti sepanjang empat tempoh jerebu itu.

NEA berkata siasatan setakat ini menunjukkan tanda-tanda bahawa jerebu mungkin berpunca daripada kebakaran di kawasan yang dipegang menerusi konsesi oleh empat syarikat Indonesia.

Dalam pada itu, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Dr Vivian Balakrishnan memberitahu media hari ini bahawa walaupun Indonesia telah mengambil beberapa langkah-langkah positif untuk mengatasi jerebu, namun masih banyak yang perlu dilakukan.