Canselor Jerman Angela Merkel menamakan beberapa pemimpin muda dari Parti Konservatif pimpinannya dan Parti Demokratik Sosial untuk berada dalam kabinet.

Ini merupakan langkah pentadbiran Merkel yang kini memasuki penggal keempatnya.

Jens Spahn, 37 tahun, seorang peguam bela dipilih berada dalam kabinet susulan kelantangan dan perjuangannya membela nasib warga pelarian di Jerman pada tahun 2016.

Pendatang baru lain dalam kabinet Merkel adalah Timbalan Ketua Parti Konservatif, Julia Kloeckner, 45 tahun, yang akan dilantik menjadi menteri pertanian, Ahli Parlimen Anja Karliczek, 46 tahun, dilantik sebagai menteri pendidikan dan Helge Braun, 45 tahun, sebagai Ketua Kakitangan Kerajaan.

Sementara itu Ursula von der Leyen bersedia untuk menjadi Menteri Pertahanan dan Peter Altmaier akan memegang portfolio ekonomi dan tenaga.

"Keputusan ini selepas berunding dengan pemimpin lain untuk memastikan bahawa jadual pekerja ini berorientasi ke arah masa depan.

"Dan saya mempunyai tugas yang sangat sukar untuk memastikan muka-muka baharu yang berpengalaman dan membawa kepada kerajaan baru," jelas Merkel dalam sidang media yang diadakan di Berlin pada Ahad.

Pengumuman tersebut merupakan sebahagian dari perjanjian gabungan dengan Parti Demokratik Sosial yang dibuat bulan ini.

Melalui perjanjian itu, Parti Demokratik Sosial akan diberi kuasa mengawal kementerian kewangan.

Kongres parti gabungan tersebut akan diadakan pada Isnin dan ia memerlukan persetujuan penuh anggota Parti Demokratik Sosial dan keputusan mengenainya hanya akan diketahui selepas proses undian dibuat pada 4 Mac nanti.