Presiden Indonesia Joko Widodo yang sedang dalam lawatan rasmi ke Afghanistan dilaporkan enggan memakai baju kalis peluru yang disediakan pihak keselamatan, lapor portal berita Kompas.com.

Langkah keselamatan tambahan itu pada awalnya disediakan pihak tuan rumah berikutan keadaan di Afghanistan yang tidak stabil.

Dua hari sebelum kunjungan tersebut, berlaku serangan pengganas di Kabul yang melibatkan bom yang dipasang pada sebuah ambulans meledak lalu mengorbankan lebih 100 orang.

“Pihak Afghanistan telah bersdia dengan kawalan keselamatan termasuk kereta antipeluru dan baju kalis peluru,” ujar Pegawai Khas Komunikasi presiden Johan Budi di Kompleks Istana Kepresidenan, Jakarta, pada Selasa.

BACA: Jokowi terima pelawaan jadi imam di Kabul

Namun menurutnya, presiden yang mesra dengan panggilan Jokowi itu menolak daripada memakai baju kalis peluru yang sudah disediakan.

Keputusan itu dibuat beliau kerana percaya kawalan keselamatan oleh negara tuan rumah dan pasukan keselamatan presiden sudah memadai.

“Presiden Jokowi tetap enggan memakai baju kalis peluru itu,” kata Johan.

Johan mengakui, situasi di Afghanistan yang tidak menentu membuatkan pasukan pentadbiran Jokowi menerima banyak peringatan dan nasihat supaya beliau tidak meneruskan jadual lawatan ke sana.

Begitupun, Jokowi tetap meneruskannya.

Jokowi sebelum ini dikenali dengan pendiriannya yang tetap mahu berada di lokasi yang dilaporkan ‘tidak selamat’.

Sebagai contoh, ketika peristiwa ledakan bom di Thamrin, Jakarta, Jokowi tetap mahu mendekati kawasan itu kerana mahu ‘dekat dengan rakyat’, selain membawa mesej ‘tidak perlu takut dengan aktiviti keganasan’.

Kunjungan Jokowi ke Afghanistan adalah yang terakhir dalam lawatan rasmi ke enam negara di Asia.

Dalam kunjungan itu, Jokowi telah dianugerahkan Medal of Ghazi Amanullah daripada presiden Afghanistan atas keteguhan dan keberaniannya menjalin hubungan bilateral antara Indonesia-Afghanistan.