RAKYAT Afrika Selatan menyuarakan kebimbangan mereka terhadap peningkat jumlah kes positif COVID-19 yang kini menghampiri setengah juta kes.

Angka rasmi yang didedahkan Kementerian Kesihatan negara itu pada Selasa menunjukkan jumlah kumulatif kes adalah 452,529 kes dengan 7,067 kematian.

Angka tersebut merangkumi lebih daripada separuh kes yang dilaporkan di benua Afrika dan merupakan jumlah kes tertinggi kelima di dunia.

Di Alexandra Township, yang terletak di pinggir Johannesburg, ratusan orang dilihat beratur di pusat ujian saringan COVID-19.

Menurut penduduk tempatan, mereka sudah beberapa kali hadir untuk melakukan ujian saringan tetapi tidak berjaya kerana orang ramai dan barisan yang terlalu panjang.

Susulan penularan wabak itu di negara tersebut, Dana Kewangan Antarabangsa meluluskan pinjaman dana kecemasan bernilai 4.3 bilion dolar kepada negara itu.