Berita gembira Duke and Duchess of Cambridge bakal menimang cahaya mata terus panas.

Ini kerana seorang jururawat yang menjawab panggilan palsu daripada sebuah stesen radio Australia, ditemui mati.

Jacintha Saldanha, 46 tahun, ditemui mati pada awal Jumaat di pangsapurinya yang bersambung dengan Hospital King Edward ke-7.

Kematian Saldanha yang telah bekerja di hospital berkenaan sejak empat tahun lalu bagaimanapun masih jadi misteri, malah pihak polis menjelaskan tidak menemui sebarang unsur mencurigakan.

“Adalah dengan rasa amat sedih saya mengesahkan kematian tragis seorang daripada kakitangan kejururawatan kami, Jacintha Saldanha.

“Jacintha telah bekerja di Hospital King Edward VII lebih empat tahun. Dia merupakan seorang jururawat yang cemerlang dan dihormati serta terkenal di kalangan rakan sekerja,” kata ketua eksekutif Hospital King Edward VII, John Lofthouse.

Beliau juga telah mengesahkan bahawa Saldanha telah menjadi mangsa sebuah panggilan palsu yang dilakukan ke atas hospital tersebut.

“Jacintha merupakan jururawat kelas pertama yang sangat mengambil berat terhadap ratusan pesakit-pesakitnya. Semua orang terkejut dengan kehilangan seorang rakan kerja yang amat disayangi... kami menaruh simpati yang amat tinggi untuk keluarga dan rakan-rakan beliau,” tambah Lofthouse.

Kate Middleton sebelum ini dimasukkan ke hospital kerana alahan teruk akibat mengandung.

Perkembangan tersebut mendorong dua penyampai radio 2dayfm di Australia membuat panggilan palsu ke pihak hospital bagi mencari maklumat terkini.

Penyampai terbabit Mel Greig dan Michael Christian dilapor sanggup menyamar sebagai Ratu Elizabeth II and Putera Charles.

Panggilan mereka kemudian diangkat oleh Saldanha dan terus menyambungkannya ke jururawat lain yang mengendalikan kes Kate Middleton.

Greig dan Christian yang mengaku melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu kemudian memohon maaf secara terbuka.