Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla hari ini membidas iklan syarikat peralatan pembersihan RoboVac dan mendesak syarikat itu untuk memohon maaf kerana didakwa menyiarkan iklan dengan tajuk 'Fire your Indonesian maid' yang menyinggung perasaan masyarakat republik itu.

Jusuf melihat iklan itu sebagai satu perkara yang tidak beretika walaupun tujuan syarikat itu adalah untuk menarik pelanggan.

“Iklan itu mesti ditarik balik dan syarikat itu perlu memohon maaf. Ini memang di luar kawalan kita namun, ianya memang tidak beretika,” katanya pada Rabu, lapor The Jakarta Post.

Beliau berkata kerajaannya juga telah menuntut penjelasan daripada syarikat itu menerusi Kedutaan Indonesia di Malaysia.

Naib Presiden Indonesia itu berkata kerajaannya akan meningkatkan skil pekerja negara itu dan jika diperlukan, akan menimbangkan untuk membekukan penghantaran pekerja ke Malaysia.

“Indonesia sebelum ini pernah melakukan satu moratorium buruh pekerja kepada Malaysia. Jika ia perlu dilakukan, kami boleh menghentikan menghantar pekerja ke sana selama tiga, empat, atau lima tahun,” kata Jusuf Kalla.

Kedutaan Indonesia juga telah meminta peguamnya untuk membuat satu perjumpaan dengan pengurusan syarikat itu dan menyediakan satu kajian undang-undang sebelum membuat aduan mengenai iklan itu dengan polis Malaysia.

Pada 3 Februari, kedutaan itu telah mengfailkan satu notis diplomatik kepada Kementerian Luar Malaysia sebagai satu bantahan kepada iklan itu.

Selain itu, Menteri Luar Indonesia, Retno LP Marsudi berkata kerajaannya juga akan membuat aduan kepada pihak polis Malaysia.

Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama sebelum ini juga telah meluahkan rasa marah beliau terhadap iklan yang sama.

Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, M. Hanif Dhakiri juga dilaporkan telah mengirimkan pesanan pendek kepada Kementerian Tenaga Kerja negara ini berkenaan iklan itu.

Dalam masa yang sama, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno, turut menzahirkan rasa kesal di atas perkara yang sama.

Usaha untuk menghubungi syarikat Robovac sejak semalam menghadapi jalan buntu.