SEORANG jutawan Bitcoin di Rusia ditemui mati di rumah keluarganya, selepas insiden dia dirompak dan mengalami kerugian kira-kira 280,000 pound (RM1.4 juta) awal tahun ini.

Pavel Nyashin, 23 tahun, yang tinggal berseorangan di St.Petersburg, pada Januari lalu telah memuat naik beberapa video memaparkan dia bersama timbunan wang kertas, ke akaun YouTube miliknya.

Beberapa hari selepas itu, sekumpulan lelaki memakai pakaian Santa Claus memecah masuk dan merompak kediamannya, lapor portal m.fontanka.

Bukan sahaja dirompak, Nyashin turut dibelasah teruk dan terpaksa menerima rawatan di hospital.

Selepas kejadian itu, Nyashin berpindah ke rumah keluarganya dan dilaporkan berada dalam keadaan murung dan tertekan.

Akaun YouTube Nyashin juga sudah tiga bulan tidak dikemaskini.

Nyashin yang juga seorang konsultan, kemudiannya ditemui mati dua hari lalu, dan buat masa ini kematiannya diklasifikasikan sebagai bunuh diri.